Saya dan Penulisan - Noor Azlin Mohamad

Home Top Ad

ads

Wednesday, 22 April 2020

Saya dan Penulisan

2 hari lepas, saya deactivate akaun Facebook saya, untuk ke berapa kali saya pun sudah hilang kira. Selama ini jika saya deactivate, pasti berbulan-bulan lepastu baru saya aktifkan balik. Jadi saya bukanlah "tidak dapat hidup" tanpanya.

Saya mula menulis secara aktif di Facebook setelah cipta kembali akaun pada Mac 2017. Akaun lama ada, tapi saya pun sudah lupa password dan emailnya. Tapi dulu saya menulis kadang-kadang sahaja.

Saya asalnya seorang blogger, blog pertama saya tahun 2009. Baru sahaja saya hidupkan kembali setelah lama ianya berkubur. Di sana saya blogging dalam Bahasa Inggeris. InsyaAllah saya akan hidupkan juga blog Bahasa Melayu saya.

Kenapa saya aktif menulis di sini?
1) Saya suka menulis, sejak dari kecil.
2) Menulis melapangkan fikiran saya, kerana saya suka berfikir.
3) Saya temui kawan-kawan baru
4) Belajar memperbaiki penulisan saya
5) Berkongsi struggle saya yang mempunyai masalah depression, anxiety dan personality disorder.
6) Bercerita perkembangan hidup saya dan keluarga saya.
7) Menyuarakan pendapat saya perihal isu-isu tertentu.
8) Bercerita, buat lawak dan juga meluah rasa.

Itu antaranyalah. Banyak lagi sebab, sebanyak mana variasi isi kandungan penulisan saya. Mereka yang selalu baca tahu yang saya suka menulis mengikut tema tertentu juga.

Saya mengambil keputusan 2 hari lepas untuk deactivate Facebook ini, kerana ada yang sampaikan kepada saya yang saya ini menulis meminta belas ihsan, dan harus deactivate Facebook kerana saya selalu negatif.

Ini adalah untuk ke berapa kali, saya diberi nasihat, agar berhenti menulis di sini. Ada yang menyampaikannya secara baik, dan ada yang cara kasar. Biasanya mereka ini menyatakannya dengan niat baik. Namun, niat tidak menghalalkan cara.

Saya nyatakan pada suami saya, kerana menulis di sini, saya temui ramai sahabat baru, belajar mengawal emosi dan amarah saya dari pembacaan dan pengalaman orang yang senasib dengan saya.

Banyak benda positif yang saya pelajari, dan sejak Ogos 2019 saya sudah tidak lagi makan ubat anti-depressi. Bukanlah saya katakan Facebook ini mengubati saya, tetapi dalam hampir setahun ini, ianya membuka lembaran baru dalam hidup saya.

Saya pernah dikata mengejar populariti dengan menulis, diserang kerana menulis dan yang paling biasa saya terima, meminta simpati dengan menulis. Bahawa saya ini memanipulasi pembaca-pembaca saya agar membantu saya, terutama dari segi kewangan.

Saya betul-betul rasa sedih dengan ucapan itu, sehingga saya sebak dan ketar seluruh badan. Bukan saya takut, tapi sedih. Sebab ianya bukan kali pertama diucap, tetapi datang dari orang yang rapat. Sebab itu saya deactivate Facebook saya.

Namun, kalini saya tidak terus mendiamkan diri. Saya luahkan pada kawan-kawan yang saya percayai. Saya menilai balik kewajaran saya, dan atas nasihat dan sokongan mereka saya activate balik Facebook ini.

Saya ambil keputusan untuk kembali menulis, walau apapun kata orang, kata sahabat atau sesiapa sahaja yang rasa saya harus berhenti. Yang menasihat atas dasar sayang atau benci.

Dengan ini saya meminta jasa baik anda yang rasa saya ini tidak patut menulis tentang kisah saya, atau fikir saya perlu menulis mengikut apa yang anda fikirkan. Pergilah dari sini, unfollow, unfriend malah block saya.

Namun jika kamu rasa perbuatan itu memutuskan juga hubungan kita, maka saya terima. Suatu hari kita jumpa juga di alam sana. Saya tidak membenci kamu, tetapi saya tidak fikir kita sehaluan, dan saya rasa eloklah kita tidak berkawan.

Saya tidak akan dapat membendung seseorang untuk membenci atau menyukai saya. Saya juga tidak dapat memenuhi permintaan semua orang. Saya bukan sempurna, hidup penuh kesilapan dan sedang belajar menjadi orang yang lebih baik.

Tuhan hantarkan kawan-kawan yang membantu, menolong saya baik secara doa, tindakan atau kewangan. Mereka memberinya dengan ikhlas tanpa harapkan balasan. Sebab itu mereka hidup dalam kasih sayang Allah, dan dipermudahkan.

Bukan kerana mereka menolong saya, bukan bukan. Kerana mereka ikhlas membantu, dan mendapat izin Tuhan. Mereka ini ada yang saya tidak kenali berdepan, ada yang berpuluh tahun tidak bersua, ada yang kenal sejak kecil atau seketika cuma.

Saya tidak dapat memberikan apa-apa kebaikan selain menulis. Itulah harta dan pemberian Tuhan buat saya. Saya tulis cerita, saya kongsi ilmu, saya nukilkan pendapat bagi mereka yang tertindas. Saya luahkan cerita bagi mereka yang tidak dapat meluahkan.

Ini adalah medan saya menulis. Sesiapa pun tiada hak untuk menentukan apa yang saya ingin buat, kecuali Allah sahaja. Saya punyai ramai kawan, tetapi bagi saya mereka semua kiriman Tuhan buat saya, bukan untuk saya manipulasi bagi memastikan saya kaya raya, dapat jual apa sahaja, atau mendapat derma kerana situasi saya.

Saya tidak dapat fikir akal mereka yang fikir saya ini seolah ada super power untuk mempengaruhi fikiran orang, yang saya ini penuh teknik psikologi membuat orang setuju, dan pelbagai lagi tuduhan. Saya bukan mutan!

Tulisan saya ada yang dapat sambutan, ada yang krik krik sahaja. Bukan semua saya tulis orang suka. Saya berhadapan juga masalah menulis, tulis padam macam orang biasa. Rasa down tiada like. Saya juga manusia!

Jika ada yang kata, saya tidak harus menulis sisi saya yang sakit kerana bimbang ada yang tidak suka. Soalan saya sama sahaja, kenapa baca jika tidak suka? Benci? Kenapa kawan jika begitu? Sebab sayang?

Tidak mahu saya terluka?
Tidak mahu saya dikata membuka aib?
Tidak mahu saya dituduh meminta simpati?

Bullshit.

Maaf saya biasa jaga kata-kata saya. Namun saya rasa itu semua rasa dari kamu sahaja. Jangan cakap orang kata, cakap sahaja itu kamu kata. Sudah katakan? Jadi sila pergi dari hidup saya.

Suami saya beri keizinan saya menulis. Dia selalu baca apa saya tulis. Dia sokong saya, siap cakap dia tidak suruh saya deactivate Facebook (walaupun ada yang mesej dia minta deactivate akaun saya).

"Kenapa Kak Lin selalu dapat kawan macamni?" (Yang fikir saya menulis minta simpati)

Soal seorang sahabat dengan icon marah bersama. Saya tergelak dalam air mata. Sepanjang hidup saya, jumpa ramai yang begini. Yang menasihati saya "atas dasar sayang" tapi bila saya cuba explain tidak mahu mendengar. Ini bukan kali pertama.

Mereka ini kalau saya jumpa, tidak sesekali saya akan memusingkan muka, atau menjegil mata. Malah saya akan senyum sahaja. Biasa biasa sahaja. Ini ruang media sosial. Saya block orang, bukan baling batu block pada mukanya.

Saya mungkin tidak sihat mentalnya kadangkala, namun saya tidak malas berfikir. Seperti saya nyatakan, saya punyai banyak personaliti, yang mana kamu tidak boleh pilih yang mana harus saya jadi.

Berhentilah menentukan hidup orang, sebagai mana fikir saya harus berhenti mempergunakan orang. Jika saya jahat, saya akan terima balasan Tuhan. Saya bukan insan yang baik, tetapi saya bukan orang jahat.

Walaupun saya boleh menulis apa sahaja, banyak perkara saya tidak tulis juga. Namun pasti ada yang terasa pedasnya. Saya mohon, jika saya ini tidak sesuai bagi kamu, menjauhlah dari saya. Lindungi diri anda dari saya.

Saya akui, saya juga menulis tentang kesusahan hidup saya. Saya juga menulis tentang hidup kami yang semakin baik. Adakah saya hanya diizinkan menulis setelah saya kaya raya sahaja?

Apa saya perlu tepek gambar saya yang bahagia sahaja? Yang mendapat kejayaan sahaja? Jika saya tulis tentang kesempitan hidup, itu menandakan saya ini meminta belas ihsan?

Sampai kata yang orang tidak akan ada selama-selamanya untuk tolong saya? Yang saya harus memohon pada Tuhan bukan pada manusia? Mereka ini siapa? Ada sebelah sayakah setiap masa? Tahu apa yang saya buat sehari-hari?

Saya menulis di blog, saya ada YouTube Channel, websites, pages, saya jual bantal, kami ambil upah memasak, dan pelbagai lagi cara untuk mencari sesuap nasi. Hari-hari buka whatsapp jawab pertanyaan pelanggan, up post sana sini.

Saya bukan kerja menulis minta belas ihsan sahaja!

Saya menulis artikel untuk website komersil, blog pendidikan, serta iklan produk. Pendek kata, saya menulis untuk mencari nafkah. Penulisan adalah sumber rezeki saya. Saya juga membantu orang dengan menulis.

Saya tidak kaya wang dan harta, tapi saya ada pengalaman. Jadi saya kongsi di group affiliate, saya jawab pertanyaan kawan-kawan yang baru berkecimpung dunia niaga di whatsapp saya. Saya memberi dengan menulis.

Selagi saya rasa ianya bukan suatu paksaan, saya akan lakukannya. Saya akan terus menulis dan menulis. Tulisan ini adalah cakap-cakap saya. Saya bukanlah mahir mana. Banyak juga silap tatabahasa, salah eja malah caca marba.

Sepanjang saya menulis di Facebook, saya banyak temui orang yang baik hati, yang telah menghulurkan bantuan pada saya sekeluarga bila kami memerlukannya. Mereka dengan ikhlas bantu saya. Kerana apa? Kerana mereka tidak harapkan apa apa balasan dari manusia, cuma Tuhan sahaja.

Saya juga, melatih diri saya untuk membantu orang lain selagi saya mampu. Sedikit atau banyak saya salurkan juga bantuan kepada kawan-kawan yang lebih susah dari saya. Kerana apa? Kerana saya belajar dari kebaikan kawan-kawan saya.

Satu kebaikan menjadi tanah yang subur, yang menjadi ladang untuk kebaikan lain tumbuh. Saya banyak belajar tentang kebaikan dari hasil pembacaan saya di Facebook. Saya dapat melihat mereka yang selalu berkongsi kebaikan ini hidup mereka dipermudahkan dan tenang.

Mereka bukan tidak pandai menilai niat orang. Mereka bukan mudah terpedaya lantas menghulurkan bantuan, mereka beri kebaikan dengan rela tanpa keterpaksaan. Mereka buat kerana menyebarkan kasih sayang Tuhan.

Jadi, jika ada sekelumit pun rasa tidak puas hati kerana mereka ini memberikan kebaikan kepada orang yang mereka rasa memerlukan, cepatlah beristighfar. Anda punyai masalah hati. Anda sakit hati melihat ada orang dibantu dan kamu fikir mereka itu tidak layak dibantu kerana malas.

Saya yakin kamu tidak merasa begitu kerana ingin turut sama dibantu. Kamu rasa kamu cukup berusaha, dan tidak suka menyusahkan orang. Bagus! Teruskan berusaha, tapi bersihkan hati, jangan asyik pandang keburukan.

Panjang saya menulis kalini. Saya mohon pada Allah saya tidak lagi ditemukan orang yang membenci saya. Namun saya tidak akan dapat begitu. Sedangkan orang yang alim, dermawan, cendikiawan malah ramai orang yang baik-baik masih ada juga yang benci.

Kita tidak boleh kawal hati orang. Kita hanya boleh doa agar Tuhan balikkan hati mereka dari benci kepada sayang.

Kerana Allah itu Maha Penyayang,
Dan saya tulis kerana saya sayang.

- Elin-
#UniversityOfHome

No comments:

Post a comment