Persahabatan 6 Jam - Noor Azlin Mohamad

Home Top Ad

ads

Thursday, 23 April 2020

Persahabatan 6 Jam

Saya membuka dompet, sambil jari membelek-belek wang kertas yang ada di dalamnya. Tidak banyak, tetapi saya tarik beberapa not merah untuk dihulurkan pada gadis itu.

"Janganlah kak, izinkanlah saya nak buat pahala juga" katanya sambil menolak tangan saya dengan lembut.

Saya tenung dia dengan mata berkaca. Mulia sungguh hatinya. Mana mungkin saya lupakan dia. Persahabatan kami cuma bermula 10 pagi itu dan kekal sehingga ke harini.

Kami berkenalan hari saya perlu menjalani mesyuarat penentuan status saya sebagai pelatih akademik. Sejak menerima keputusan gagal, lama juga saya berjuang membuat rayuan.

Pagi itu saya kehilangan telefon saya di dalam Grab, kerana anak sulung saya tertinggal ia di tempat duduk belakang kereta. Saya berdua ke Kuala Lumpur menaiki bas kerana ketika itu kandungan saya masuk 8 bulan lebih. Dia sebagai peneman jika saya tiba-tiba perlu melahirkan.

Saya menumpang tidur di rumah adik beradik, dan pagi itu saya bersama dia menaiki Grab untuk ke stesen lrt. Sebaik menyedari telefon tertingal, kereta grab tersebut telah berlalu.

Saya kemudiannya meminta bantuan peniaga nasi lemak di situ, untuk tumpang guna telefon. Bila saya cuba hubungi telefon saya, ianya sudah dimatikan. Kemudian saya cuba tahan kereta Grab lain, dan minta bantuan telefon HQ Grab.

Setelah dapat berhubung dengan pemandu asal, saya dapati telefon saya telah diambil seseorang, dan tidak mungkin dijumpai masa itu. Saya pula perlu hadiri mesyuarat jam 10 pagi. Anak saya sudah menangis rasa bersalah. Saya pula, begitu tenang menghadapi situasi itu. Mungkin kerana saya sedang mengambil ubat anti-depressi, jadi saya jadi begitu tenang sekali.

Kemudian saya ambil keputusan meneruskan perjalanan tanpa telefon. Kami menaiki LRT ke Gombak, kemudian naik bas ke destinasi. Sepanjang perjalanan anak saya berulangkali memohon maaf, namun saya katakan ianya sudah ditakdirkan jadi usah bimbang saya tidak akan marah padanya.

Kami sampai di lokasi 30 minit sebelum waktu yang ditentukan. Saya mengambil tempat duduk di ruangan menunggu bersama ramai lagi peserta mesyuarat tersebut. Salah seorangnya adalah gadis yang saya ceritakan awal-awal tadi.

Sambil duduk menunggu giliran, anak saya tertidur di atas sofa. Ramai yang pelik saya membawa beberapa beg besar. Lalu saya ceritakan yang saya ini sudah 8 bulan lebih, dan dalam beg itu ada baju dan kelengkapan bersalin sekali. Saya juga akan terus balik ke Kuantan selepas mesyuarat.

Giliran saya dan gadis itu dihujung sekali. Dia yang ketiga terakhir, saya yang terakhir. Sempatlah saya bertukar-tukar cerita pengalaman sambung belajar. Saya bercerita tentang kegagalan projek thesis master saya dan proses yang sudah saya lalui.

Semua peserta di situ bimbang tentang saya,  iyalah, sarat dan letih. Mereka juga tahu cerita kehilangan telefon saya. Ada yang menawarkan diri menghantar saya buat laporan ke balai polis dan ke terminal.

Sampai giliran gadis itu dia meminta diri untuk masuk, kemudian dia masuk ke dalam. Setelah itu dia keluar dari pejabat namun patah balik kembali. Dia menawarkan dirinya untuk menghantar saya juga. Saya katakan yang mungkin lama lagi giliran saya tapi dia kata tidak mengapa nanti dia akan datang kembali.

Iya, memang lama. Dia datang juga bertanya adakah saya sudah selesai. Dia kemudian bawa beg saya dan anak saya bersamanya. Terdetik juga benarkah dia ini, begitu tulus ingin membantu saya. Namun kerana kami dari universiti dan program biasiswa yang sama, mana mungkin dia berniat tidak baik.

Sampailah giliran saya, dan mesyuarat itu ambil masa yang lama. Saya orang terakhir yang dipanggil. Itulah perjuangan terakhir rayuan saya, jadi saya cuba sedaya upaya saya meyakinkan ahli mesyuarat.

Selesai sahaja mesyuarat saya diberitahu mereka akan maklumkan semula keputusan mereka. Namun jauh di sudut hati saya, sudah redha. Saya sudah katakan apa yang saya patut katakan. Saya telah berjuang, dengan perut yang sarat saya menjawab setiap persoalan.

Saya bangkit dari kerusi dengan kaki yang rasa terpaku ke lantai. Perlahan-lahan saya bangun dan mengucapkan terima kasih. Langkah saya longlai, rasa seperti dunia ini terlalu berat bagi saya.

Sebaik keluar saya duduk di sofa kembali. Kemudian anak saya menyambut saya dan mengatakan yang gadis itu telah menunggu kami di keretanya. Saya berjalan keluar, sambil menoleh ke pejabat itu.

Di situ saksi saya diambil ke program pelatih akademik ini 3 tahun sebelum itu. Di situ juga saya melangkah keluar tanpa tanpa berjaya memakai jubah sarjana. Di situ impian mekar dan layu. Saya pasti itu kali terakhir saya akan jejak lagi di situ.

Kami menaiki lif ke bawah. Saya melalui ruang pameran universiti. Saya pegang dinding kaca pameran. Saya ukirkan senyuman, sambil mengingatkan diri saya ini semua pengalaman yang saya tidak akan lupakan dalam hidup saya.

Sebaik sahaja melangkah keluar bangunan, gadis itu setia menunggu saya di dalam keretanya. Kami meluncur keluar dari kawasan menara gading itu. Saya melihat dari cermin kereta, dan mengucapkan selamat tinggal di dalam hati.

Gadis itu kemudian membawa saya dan anak ke kedai makan. Saya belum menjamah apa-apa sejak pagi. Sudah lama saya hilang selera, namun saya ambil sedikit buat anak dalam kandungan. Sepanjang dalam kereta ke balai polis, saya bercerita apa yang terjadi di dalam bilik mesyuarat.

Saya meluahkan apa yang terbuku di dada saya. Dia terus memandu, sehingga sampai ke balai polis yang paling dekat. Setelah menghantar saya dia pergi mencari tempat parking kerana tidak dapat masuk ke kawasan balai. Hujan turun selebat-lebatnya tiba-tiba.

Saya membuat laporan polis berkenaan kehilangan telefon saya. Saya ceritakan apa yang berlaku dari A sampai Z. Tentang apa saya hubungi pemandu dan syarikat, tentang saya tumpang guna telefon, tumpang kereta orang ke balai polis itu.

Pegawai polis tersebut bertanya bagaimana nanti saya akan pergi ke terminal, saya katakan yang gadis itu akan menghantar saya. Pegawai tersebut kehairanan, dan juga bimbang melihat saya. Siap ingin tawarkan bantuan ke sana.

Namun saya percaya pada gadis itu. Semasa saya berbicara dengan pegawai polis, dia menunggu di tempat parkir di hadapan balai di dalam hujan lebat. Selesai buat laporan kami meneruskan perjalanan ke Terminal Bersatu Selatan. Ya dia telah membantu saya dari Gombak hingga Bandar Tasik Selatan.

Turun dari kereta dia bawa beg saya, dan kami berjalan masuk ke terminal bersama anak saya. Kemudian saya meminta dia pulang dahulu kerana rasa bersalah menyusahkannya. Namun dia tetap berkeras untuk menunggu saya sehingga naik bas.

Mujurlah ada tiket untuk saya anak beranak pulang ke Kuantan. Saya kemudian pergi bertemu dengannya untuk ucapkan selamat tinggal dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga. Cubaan saya membayar duit minyak dan tol ditolak olehnya.

Kami bersalaman, dan berpeluk erat. Saya pegang bahu dan tenung mukanya sambil ucapkan terima kasih berulang kali. Dia kemudian meminta saya menelefon dia sebaik sahaja tiba di Kuantan. Dia ingin pastikan saya selamat sampai.

Kami bersalaman, dan terasa amat berat untuk melepaskan tangannya. Dia pun sama memandang saya dengan mata yang kelihatan berkaca. Sungguh indah sebuah persahabatan yang wujud tanpa dijangka, dan perpisahan sukar buat kami berdua. Dia kemudian berlalu pergi, sambil menoleh beberapa kali melihat saya.

Saya ceritakan kisah ini, kisah sebuah persahabatan berusia 6 jam, tetapi akan saya kenang selama-lamanya. Saya masih berhubung dengan gadis itu, dan saya amat terharu apabila dia menghubungi saya hari dia akan menghadapi Viva. Dia minta saya doakan dia berjaya menghadapinya.

Saya berasa amat bangga dan gembira apabila mengetahui dia lulus dengan hanya sedikit pembetulan untuk thesis phdnya. Tuhan telah mudahkan dia, sebagaimana dia memudahkan urusan saya setahun sebelum itu. Saya betul-betul bersyukur dia lulus dengan cemerlang.

Kawan-kawan, dalam hidup saya, saya ditemukan ramai insan yang baik. Tuhan mendidik saya melalui mereka. Tuhan tunjukkan saya, yang kebaikan itu wujud. Ini cuma satu dari banyak pengalaman berharga yang Tuhan hadiahkan kepada saya.

Tuhan sedarkan saya, yang kita boleh pilih untuk menjadi manusia yang baik atau sebaliknya. Bahawa menjadi baik itu pilihan. Jalan yang diredhai Tuhan. Setiap insan yang baik itu pasti di bawah lindungan dan kasih sayang-Nya.

Saya akan cuba menulis kisah-kisah begini sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini. Sebagai peringatan kepada diri saya tentang betapa banyak kasih sayang yang Tuhan berikan kepada saya.  Betapa banyak Tuhan mengajar saya, menjadi insan yang luarbiasa.

Terima kasih kerana sudi membaca, kisah saya kali ini.

Terima kasih Allah, terima kasih sahabat.

- Elin-
#UniversityOfHome

No comments:

Post a comment