Kasih Sayang dan Ketenangan - Noor Azlin Mohamad

Home Top Ad

ads

Tuesday, 28 April 2020

Kasih Sayang dan Ketenangan


Kasih sayang dan ketenangan. Dua perkara ini yang Allah tunjukkan pada saya selama beberapa tahun ini. Namun sedikit sahaja saya belajar mengenainya.

Mungkin kerana keadaan kesihatan saya, dan juga kelemahan saya sendiri saya masih belum dapat menyelami kedua-duanya. Saya kadangkala tenggelam dalam keresahan dan amarah.

Namun Allah masih hantarkan orang yang baik-baik kepada saya, temukan saya dengan orang yang penuh kasih sayang. Orang yang memberi tanpa mengharapkan apa-apa balasan selain dari Tuhan.

Semalam saya menyelusuri laman Facebook ini, kemudian lalu di newsfeed live dari Ustaz Ebit Lew. Saya menonton video live itu jam 2 pagi. Banyak saya belajar dari video 45 minit itu.

Bahawa dalam hidup ini, walau siapapun kita, tetap akan diuji. Ketenangan itu satu nikmat, namun mustahil untuk mencapai ketenangan setiap masa. Ada masa kita diuji, hati bergelora, rasa sedih dan marah.

Ketenangan tidak boleh dicari, ianya hadir dengan izin Tuhan. Kasih sayang pula tidak dapat dipaksa, ia muncul apabila Tuhan melahirkannya di dalam hati-hati manusia.

Jadi bagaimana untuk terus berada dalam kasih sayang dan ketenangan?

Dengan memberinya kepada insan lain.

Sebarkan kasih sayang, berikan bantuan yang boleh memberikan ketenangan kepada insan yang kita temui. Buat kerana Tuhan. Buat ikut kemampuan. Buat tanpa mengharapkan balasan.

Harini saya ada juga membaca tulisan seseorang yang saya sudah anggap sebagai adik walau belum pernah bertemu. Bahawa kita diuji dengan apa yang kita tulis dan sampaikan.

Benar, saya sangat setuju. Ada masanya saya juga begitu, menulis tentang kasih sayang dan ketenangan namun saya sendiri bergolak juga dengan emosi negatif dan rasa tidak puas hati.

Jadi sepertimana dia, saya juga akan melihat kembali tulisan saya belajar dari diri sendiri. Apa yang saya tulis keluarnya dari hati saya, yang memberikan ilham itu Tuhan. Jadi Tuhan menasihati saya juga melalui penulisan saya.

Saya bersyukur Allah munculkan satu lagi kesedaran kepada saya. Semoga penulisan ini memberi manfaat kepada semua. Ucapan terima kasih kerana sudi membaca nukilan saya kalini.

Terima kasih Allah, terima kasih sahabat.

-Elin-
#UniversityOfHome

No comments:

Post a comment