Bukan Bidadarimu - Noor Azlin Mohamad

Home Top Ad

ads

Saturday, 18 April 2020

Bukan Bidadarimu


"Abang sayang ayang?" Tanyaku yang tidak boleh tidur.

"Mestilah sayang" jawab si dia.

Sudah masuk 14 tahun aku tanyakan soalan ini. Masih lagi setia dia menjawabnya.

Walaupun kadangkala soalan tu ditanya waktu dia tengah masak, tengah mandikan anak, lipat kain, tengok cerita tamil ataupun bila dikejutkan jam 3 pagi.

"Abang, terima kasih kerana sanggup bersabar dari sejak kita kenal sampai sekarang. Dari ayang tengah belajar sampailah dah sakit begini" kataku sambil duduk meriba Ammar.

Dia cuma senyum, sambil sambung melihat telefon. Kemudian kami berbual-bual. Akulah yang biasanya lebih banyak bercakap. Sekali sekala dia akan menjawab, menandakan dia mendengar.

"Ayang buatlah apa yang ayang rasa nak buat, jangan paksa diri. Jangan buat benda yang boleh buat ayang marah-marah. Tak payah suruh-suruh orang" nasihatnya malam tadi.

Inilah sahabat yang setia melayan personalitiku yang berubah-ubah, amarahku yang boleh tiba-tiba datang, dan manjaku yang tak bertempat. Kami berbeza 10 tahun. Tapi dia boleh bersabar apabila kelakuanku yang kadangkala mengalahkan anak-anak.

Bukan dia tidak pernah marah, atau tertekan dengan sikap dan tindakanku. Ada. Bergaduh tu biasa. Cuma dia tahu bila dia patut diam sahaja dan bila dia perlu bersuara. Itupun setelah sekian lama. Pengalaman banyak mengajar dia cara nak handle isterinya ini.

Bila aku muncung, dan marah-marah dia akan bertanya "Ni kenapa, apa yang buat ayang triggered ni?"

Soalan dia sebenarnya memberi ruang untuk aku meluahkan. Jadi aku sedar yang aku sedang sakit dan apa yang aku rasa itu bukan normal. Aku mula meluah, memberitahu tentang apa dan siapa. Cakapku laju, bergetar dan bersambung-sambung.

Kemudian dia akan cuba memberi nasihat apa aku patut buat. Ada juga dia sendiri tak tahu nak cakap apa, sebab dia tidak faham pun apa aku cakap. Tapi yang pasti, dia sedia mendengar.

Dia ini benteng aku. Bila aku ketakutan aku menyorok belakang dia. Walaupun aku lebih lebar dari dia aku rasa secure. Aku akan pass kepada dia hal-hal yang aku tak mampu nak berdepan.

"Ayang kalau lepas ni ada sesiapa yang cadang abang kerja kat luar, atau ayang sendiri fikir, tak payahlah. Ayang tahu ayang macamana kan?"

Ujarnya suatu hari waktu aku menolongnya membungkus lauk yang dimasak untuk masjid.

Ya, akulah masalah dia. Bukan dia tidak pernah kerja di luar, makan gaji. Namun sejak berkahwin, aku ini memang terganggu bila dia keluar bekerja. Aku akan telefon dia berpuluh kali. Aku tanya dia balik jam berapa. Setiap pagi aku cari pasal.Bila dia balik aku sambung mengamuk.

Dia mula berniaga tahun 2014, dan sehingga kini tidak lagi bekerja dengan orang. Selalu ada menjaga aku dan anak-anak.

Dialah suamiku, si mamat ice skating suatu zaman dahulu. Bekas pemandu lori, mengangkat tanah dan baja. Kini seorang tukang masak yang mengambil upah masak untuk masjid.

Aku yakin dia tidak menjangka akan dapat isteri sepertiku. Aku juga yakin dia banyak belajar mengenali isterinya yang kusut ini. Aku tidak sempurna. Aku bukan isteri mithali. Aku tidak akan dapat menjadi seperti isteri-isteri orang lain.

Sebahagian dari diriku tidak dapat dikawal. Ini adalah ujian untuk aku dan dia. Akan ada yang memberi nasihat begitu dan begini, tanpa mengetahui keadaan aku ini. Apa yang dilihat tidak sama apa yang kami lalui.

Ada yang menasihati kerana kasihankan aku, kasihankan dia, kasihankan anak-anak. Pintaku, simpanlah cadanganmu, berikanlah doamu untuk kami. Aku tidak minta diuji begini. Aku juga yakin Tuhan menguji kerana Dia sayang dan tahu apa yang terbaik untukku.

Kepada suami-suami yang mempunyai isteri sepertiku. Teruslah bersabar dan berdoa agar Tuhan berikan kamu kekuatan dan kesembuhan buat isterimu. Kami tidak sesekali membencimu, malah amat menyayangimu.

Jika kamu pun sama, teruskan bertahan. Usah dilayan kata-kata orang. Ini isteri yang kau lafazkan akad, semoga nanti bersama hingga ke liang lahad. Dunia ini sementara sahaja, jadikan kami asbab untuk kau ke syurga.

Kami mungkin bukan bidadarimu di dunia, namun kerana kami kau akan temuinya di sana.

Elin
#UniversityOfHome

No comments:

Post a comment