Teruslah Melangkah - Noor Azlin Mohamad

Sunday, 8 November 2020

Teruslah Melangkah

Saya betul-betul buka "selimut perasaan" saya kalini. Jujur saya katakan ianya tidak semudah yang dilihat. Bukan macam membuka selimut tidur. Ianya umpama menarik sesuatu yang melindungi, pabila terbuka rasa takut itu menguasai sehingga ke tulang belulang.


Saya bercakap sebagai pesakit anxiety, depression dan personaliti disorder. Saya bukan bercakap sebagai orang yang takut, sedih atau keliru. Ianya penyakit mental. Keadaan pemikiran saya tidak sama seperti yang dilihat secara luaran.

Di dunia media sosial ini, saya paksa diri saya bergaul dengan kawan-kawan. Ya saya paksa. Bukan kerana berkawan itu teruk, tetapi ianya menakutkan. Saya takut saya tersalah tafsir, takut dengan gurauan, takut untuk memberi reaksi sekalipun.

Namun saya terpaksa juga hadapi, di sini saya mencari sesuap nasi untuk kami sekeluarga. Sejak kami berpindah ke kampung, pendapatan hanya dari duit kwsp dan upah sebagai admin group. Saya sudah tiada apa lagi untuk digadaikan.

Saya pasti ramai rakan baru yang tertanya-tanya, apakah pekerjaan suami saya. Ini bukan soalan baru, setiap kali saya jumpa sesiapa, selalu saya terima soalan ini. Bukan setakat soalan, malah nasihat yang saya tidak perlukan.

Suami saya ini asalnya seorang pemandu lori lebih 10 tahun ketika kami mendirikan rumahtangga. Kami berkahwin semasa saya belajar di sebuah IPTA di Kuantan. Selepas habis belajar saya gagal dapatkan kerja mengikut jurusan saya.

Dia pula, diberhentikan kerja sebulan sebelum saya habis belajar. Ketika itu saya mengandungkan anak nombor dua, dan bakal melahirkan tak lama selepas itu sahaja. Ya setelah melalui perkahwinan jarak jauh 4 tahun, kami bersama kembali dan keduanya tiada kerja.

Kami tiada apa, cuma sebuah motor c70 yang semput-semput. Motor itupun rosak juga. Si dia cuba mencari kerja tetapi kelulusan spm, sijil pun hilang . Kerja ada tetapi jaraknya jauh, masa tu public transport tidak ada di semua tempat.

Jadi saya yang punyai kelayakan yang lebih keluar juga mencari kerja. Saya temuduga kerja kerajaan sahaja 4 kali. Kerja apapun saya terima, termasuk kerja sebagai kerani admin. Suami saya sempat bekerja sebagai merchandiser sebelum bekerja semula memandu lori.

Kemudian pada sekitar tahun 2013, saya mulai tidak sihat sejak mengandungkan anak ke-3. Ketika itu saya bekerja sendiri, mengambil upah sebagai webmaster dan servis design untuk peniaga online.

Dia berhenti kerja bagi bantu jaga anak-anak. Gaji yang diterimq sebagai pemandu lori tidak dapat menyara keluarga yang makin bertambah. Ketika itu bisnes saya semakin maju. Kami dapat beli kereta secondhand, dapat bayar sewa rumah dan lain-lain.

Saya sejak itu tidak mampu lagi buat kerja berat. Athma saya teruk, cuma dapat duduk di meja kerja menyiapkan website pelanggan sambil batuk-batuk sepanjang malam. Si dia lah yang menjaga anak-anak, menyediakan makan minum, dia jadi, Mr. Mama.

Pada hujung tahun 2014, sakit saya semakin teruk. Jantung saya bengkak seperti bola. Ya itu yang diberitahu doktor pada saya. Semasa scan jantung didapati saya ada masalah jantung berlubang yang saya sendiri tidak ketahui selama ini.

Saya mulai berhenti mengambil upah design dan website. Pendapatan merundum teruk, dan kami mulai cuba meniaga makanan dengan bantuan modal dari kawan-kawan. Kami pernah meniaga di tepi sekolah, depan klinik dan juga di depan rumah.

Pada pertengahan tahun 2015 saya memohon sebagai pelatih akademik di IPT saya belajar dahulu. Setelah 3 kali lapisan temuduga, berjaya melepasinya dan mengikat kontrak sambung belajar.

Kami berpindah ke negeri Pahang. Pindah dengan poket kosong. Waktu itu biasiswa lewat diterima. Sewa rumah pun ada ayah sahabat saya yang dahulukan wang. Sementara menunggu biasiswa diluluskan, kami mula meniaga makan semula, kali ini di kiosk tempat saya belajar.

Suami sayalah yang memasak makanan tengahari untuk dijual di kiosk, dia juga yang menjaga anak-anak dan meniaga bersama mereka. Saya yang mula sibuk dengan urusan belajar dan thesis hanya dapat membantu sekali-sekala.

Setahun lebih meniaga di situ, kami mengambil keputusan untuk keluar kerana jualan semakin merundum. Bermulalah episod meniaga secara delivery. Biasiswa saya sudah tamat cuma merasa setahun setengah sahaja.

Jadi kami bergantung pendapatan menjual nasi campur dengan kereta kami. Sehingga kami dapat tempat meniaga di depan masjid. Namun tidak lama atas sebab-sebab tertentu. Kemudian suami saya mula mendapat upah masak untuk masjid.

Upahnya seringgit sekepala. Ada masa dia dapat upah untuk 30 orang, dapatlah 30 ringgit. Dalam masa yang sama cuba juga membuat servis deliveri nasi campur. Namun untung sedikit, lebih banyak yang tidak habis dari terjual.

Saya cuma sempat melapor diri 3 bulan sebelum keputusan thesis saya keluar. Selepas didapati gagal, saya diberhentikan dari kontrak. Pendapatan kami hanya bergantung pada upah suami memasak untuk masjid dan program pelajar.

Dialah yang mencari nafkah dengan upah masak, dialah yang menjaga anak-anak. Saya ketika itu mengalami fasa depressi yanng teruk dan makan ubat psikiatri, cuma mampu menolong dia membungkus makanan. Ketika itu saya mengandung anak yang terakhir. Iya, kerana saya sudah ikat peranakan selepas beranak secara caeser.

Saya banyak hilang memori ketika itu. Apapun tiada makna bagi saya. Online? Langsung saya tinggalkan. Saya jadi stupor. Saya kelihatan gembira dan tenang, tetapi saya seolah-olah mati. Anak-anak pun saya tidak peduli. Apapun tidak peduli.

Apabila diserang sakit mental, ramai akan mengata yang kami ini pemalas. Kata kami ini tidak cuba paksa diri. Tidak dengar cakap orang. Masalahnya, ini di dalam kepala kami ini tidak sudah tidak sama. Kami bukan minta jadi begini.

Setelah melahirkan Ammar, saya cuba sedikit demi sedikit berkecimpung kembali dunia bisnes online. Saya mula dengan menjadi Affiliate Cikgu Mohd Fadli Salleh. Namun saya masih belum sihat sepenuhnya.

Saya masih ingat Ogos 2019. Ketika itu upah masak tidak banyak diterima. Saya mula menjual buku-buku yang saya sebenarnya berat untuk lepaskan. Saya cuba jual apa sahaja yang ada kerana tidak mampu membayar sewa rumah.

Namun sejak itu, ramai kawan-kawan baru dan lama hadir membantu kami. Upah masak juga mulai bertambah. Saya yang kadangkala sihat dan kadangkala tidak, sekadar membantu sedikit dari segi kewangan.

Semuanya berubah sejak PKP pertama bulan 3 tahun ini. Upah masak yang suami saya terima untuk masjid semakin berkurang dan akhirnya tiada. Mujurlah untuk makanan asas, pihak masjid selalu membantu. Saya yang diserang sakit mental kembali, tidak mampu untuk selalu online.

Pada Jun 2020, saya menyatakan hasrat saya untuk pulang ke kampung di Facebook. Kawan-kawan tampil untuk membantu menunaikan hasrat saya. Dengan bantuan mereka, saya dapat berpindah ke kampung kehidupan ini pada tanggal 4 Julai 2020.

Sejak berpindah ke kampung, kesihatan mental saya semakin baik. Namun tidak cukup baik untuk saya bekerja di luar rumah. Suami sayalah yang menguruskan anak-anak, hantar mereka ke sekolah, memasak dan menguruskan rumah.

Di kampung ini, bukanlah sama seperti di bandar. Jika buat delivery makanan di bandar pun selalu rugi, inikan pula di kampung. Hendak meniaga? Rumah kami buka di tepi jalan, perlu meniaga di jalan besar. Itupun bukan jalan utama.

Bagaimana pula dengan urusan anak-anak jika suami saya meniaga di gerai? Siapa nak hantar dan ambil anak-anak. Di sini bukan bandar tetapi persaingan juga tinggi. Kena buat pertimbangan modal yang dilabur dengan pulangan yang bakal diperolehi. Kami sudah banyak kali meniaga makan, ianya bukan semudah yang dikatakan.

Lantas ada yang mencadangkan suami saya kembali memandu lori. Yang menyarankan bukan tidak tahu saya ini tidak sihat mentalnya. Suami saya selama ini meniaga disamping saya ada sebabnya. Saya tidak boleh jika dia tiada. Saya boleh jadi lebih gila.

Suami saya pergi lama membakar lemang di rumah belakang iaitu rumah kakaknya sendiri pun saya punya mengamuk terbang barang dapur ke dinding dan singki. Saya tidak dapat kawal. Saya bukan normal. Jadi jangan nasihat benda sewenangnya.

Jadi kini dia jadi Mr.Mama yang menjaga anak-anak dan saya. Iya saya. Saya bukan pemalas. Rumah ini waktu berpindah sayalah yang bersihkan. Basuh setiap helai pakaian dan pinggan. Dua bulan pertama di sini saya tumpukan bantu selesaikan hal rumah. Jadi saya tidak dapat tumpukan meniaga online.

Masuk bulan ketiga saya mulai pass kerja rumah kepada dia kembali seorang diri. Saya cuma bantu benda yang saya boleh, macam pakaian dan melayan pendidikan anak-anak. Mana boleh dua dua jaga anak, siapa nak cari duit?

Dia sudah sediakan rumah ini, peninggalan arwah ibunya. Duit kwsp dia pula guna untuk beli barang dapur. Hendak bekerja di luar tidak boleh tinggalkan saya. Hendak berniaga kekangan masa, transport sekolah anak dan juga lokasi. Kereta kami pun sudah mula meragam kembali.

Jadi kami sepakat, yang hanya perniagaan online dapat dilakukan bersama-sama. Saya buat sales dan marketing, dia bahagian logistik. Bungkus, pos barang dia buat. Kerja rumah bab makan, urus anak anak dia. Bab pakaian dan pendidikan saya.

Kami berhenti melayan cakap-cakap orang. Ramai yang kehairanan, yang sibuk bertanya bagaimana kami sara hidup kami anak beranak. Hanya kami tahu kemampuan dan limitasi kami. Hanya suami saya saksi waktu saya sihat dan waktu saya diserang sakit.

Akan ada orang yang berfikir saya ini pemalas, kerana suami saya yang banyak uruskan hal rumahtangga. Akan ada orang yang fikir suami saya yang pemalas kerana saya yang lebih banyak mencari sumber kewangan. Kami pula malas nak fikir pasal apa yang orang fikir, kerana kami yang hadapi.

Walaupun saya sakit mental, saya minat meniaga. Saya minat buat kerja design, saya suka buat marketing. Sale hasil jual ebook dapat saya gunakan untuk bayar bil-bil dan juga bayaran balik biasiswa kerana gagal.

Upah jadi admin saya buat pusingan modal untuk beli software, tambah baik peralatan untuk buat sale dan marketing. Memang cukup-cukup sahaja. 3 cincin saya tidak pernah lama di jari. Ianya kini dipajak gadai kembali.

Dapat duit bpn, duit bsh, memang banyak membantu. Kerana saya bukanlah super Affiliate. Baru sahaja ingin bergiat aktif kembali dapat komisen beberapa ratus sahaja. Tapi dari situ saya pusing modal dan sara hidup kami.

Saya cuba hulurkan pada abah walaupun sedikit. Kakak saya menolak kerana tahu saya sendiri pun cukup-cukup makan. Namun saya cakap, terima lah, saya nak cari keberkatan, doakan saya sekeluarga dipermudahkan urusan dan rezeki.

Sewaktu saya tulis ini, duit di bank sudah tiada berbaki. Saya guna untuk renew ssm, bayar duit biasiswa, beli susu dan pampers anak-anak. Dalam poket ada kurang seratus, itulah pengeras untuk bertahan sehingga bayaran komisen awal bulan ini.

Saya buat pinjaman peribadi dengan sahabat saya untuk sewa beli mesin photostat dan binding machine. Dapat duit esoknya saya habiskan semua bayar deposit dan beli peralatan di Shoppe.

Saya jadikan setiap apa yang saya perolehi sebagai pusingan modal. Alhamdulillah, masih belum kelaparan anak-anak kami ini. Allah-lah pemberi rezeki. Kadangkala ada kawan-kawan yang menitipkan wang, tanpa kami minta seolahnya dapat membaca keadaan kami. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa baik mereka.

Sudah setahun lebih kami tidak meminjam lagi dari kawan-kawan dan saudara mara. Namun masih ada banyak hutang kawan-kawan yang baik hati yang belum dapat saya lunaskan sehingga ke harini. Ada yang menghalalkan dari awal, namun saya akan cuba langsaikan ramai lagi.

Kawan-kawan ada yang berpesan, Lin kalau susah, bagitahulah InsyaAllah kami dapat bantu. Namun saya cuba untuk tidak meminta lagi. Saya tidak mahu berhutang untuk sesuap nasi. Jika adapun untuk pusingan modal perniagaan sahaja.

Saya ditemukan ramai kawan-kawan yang baik hati, yang memberi tanpa tapi. Lihat sahaja bagaimana saya dapat pulang ke kampung ini dengan bantuan mereka. Saya tahu mereka sedia untuk membantu saya lagi, namun saya masih cuba bertahan selagi saya mampu.

Seperti saya nyatakan, saya membuka selimut hati saya ini. Saya mulai membuka servis design saya kembali. Saya memohon kerja sebagai content writer, walaupun dengan perasaan yang sangat berat. Saya belum terima keputusan akhir, namun saya redha jika bukan rezeki saya.

Tuhan sahaja yang tahu peperangan dalam kepala saya setiap hari. Jam berapa saya dapat tidur dengan pen di jari menulis apa yang ada dalam kepala saya. Suami saya menghantar saya makanan kerana saya sudah lupa waktu makan.

Suami saya tidur bertemankan anak-anak kerana saya sudah lupa waktu tidur. Saya akan berada di meja kerja sehingga otak saya tidak mampu lagi melawan. Bangun pagi selepas solat subuh saya ulang lagi.

Saya tidak mampu memikul tanggungjawab sebagai seorang ibu kepada 6 orang anak sepertimana wanita lain. Namun saya masih mampu bekerja mencari pendapatan. Ini kerana separuh jiwa saya adalah dunia niaga online.

Walaupun dengan terpaksa online, boleh menyebabkan saya triggered, boleh buat saya rasa dunia hampir kiamat, inilah dunia yang menerima saya. Inilah dunia tempat saya mencari beras untuk diisi dalam periuk. Ini dunia saya mengisi perut kami sekeluarga.

Saya rasa ini entri terpanjang saya pernah tulis sekian lama. 3 jam saya menaip, berhenti untuk solat dan makan, kemudian sambung semula. Tujuan saya adalah untuk menceritakan sebuah pengorbanan, yang mungkin tidak semua ketahui.

Kawan-kawan, kita akan menghadapi saat susah dan senang. Kita akan diuji. Jiwa kita akan hancur berkecai. Sampai satu saat kita terduduk dan seolah tidak mampu lagi bangkit sekali lagi. Namun, kita harus terus mencuba.

Usah pedulikan apa orang kata, usah dengar perbandingan orang. Usah kita sendiri membanding kehidupan kita ini dengan orang lain. Jika kita dilanda kesusahan, bukan bermakna kita malas, kita tak cukup usaha, kita gagal atau kita tidak pandai menguruskan hidup.

Ini ujian Tuhan, dan selagi mana kita terus hadap, kita terus usaha, akan ada ganjaran besar menanti kita di sini atau di sana nanti. Mereka yang hidupnya senang, belum tentu tidak diuji. Mereka juga ada tanggungjawab yang mana kita pun mungkin tidak mampu untuk pikul atau hadapi.

Saat ini, pujuklah hati. Teruslah melangkah walau perit walau rebah. Jatuh bangkit semula. Bukan penilaian manusia yang kita perlu peduli. Fokus pada kemampuan diri.

Hanya kita tahu apa yang kita mampu lakukan.
Dan hanya Tuhan tahu apa yang kita rasakan.

Teruslah melangkah!

- Elin -
#UniversityOfHome
Pelajaran Hidup Bermula Kembali
 


No comments:

Post a comment