Peluang tanpa penghujung - Noor Azlin Mohamad

Tuesday, 3 November 2020

Peluang tanpa penghujung

 


"Abang, maafkan ayang jika semasa ayang sakit, mengatakan perkara yang menyakitkan hati abang"

 

Itulah pinta saya setiap kali saya hilang kawalan pada penyakit saya ini. Saat fikiran menjadi berkecamuk, saya tidak dapat mengawal diri saya dari bercakap perkara yang terbuku di hati. Kebenaran itu pula, kadangkala menyakitkan.

 

Harini bermula dengan indah sekali, saya bernyanyi-nyanyi kecil di hadapan komputer. Si dia pula asyik memasak di dapur. Ammar pun seolah dapat merasai saya gembira, lalu rajin dia datang ke tempat kerja saya ini. Biasanya dia akan sibuk memegang kaki si dia dan mengekorinya ke hulu dan ke hilir.

 

Entah apa yang membuatkan semuanya berubah sekelip mata tengahari tadi. Suasana bahagia bertukar suram. Bunyi jadi sangat kuat, saya rasa seperti ada orang yang ingin menganggu hidup kami. Rasa marah pada kisah-kisah lama. Saya menjerit-jerit meminta pintu dan jendela ditutup kesemuanya.

 

Mulut saya terus kumat-kamit membebel, sehingga saya tertidur di ruang tamu. Lama saya tidur, sebelum terjaga waktu maghrib. Bila saya buka mata, saya diserang rasa bersalah. Apa yang aku sudah lakukan tadi? Kenapa aku marah-marah tadi? Emosi yang bergelora telah reda, lalu saya duduk di sebelah si dia di meja makan.

 

Dia seperti biasa, melayan saya dengan penuh sabar dan kasih sayang. Seolah tiada apa yang berlaku tadi. Saya memohon maaf berkali-kali padanya, sambil bercerita apa  yang saya rasa. Iya, saya tahu apa yang berlaku, cuma ketika saya diserang sakit saya, ianya seperti saya melihat diri saya, tetapi tidak dapat menghalang perlakuan saya. 

 

Setiap kali saya diserang sakit saya kembali, kami akan berbincang tentang perihal yang membuatkan ianya terjadi. Ianya membantu kami mengenalpasti punca-punca, dan mengelakkannya pada masa akan datang. Namun, tidak semuanya mempunyai punca, kadangkala ia muncul tiba-tiba sahaja. Ada juga perkara yang tidak dapat kami elak, jadi hendak tidak hendak si dia perlu banyak bersabar.

 

Selesai makan, saya ke bilik air, mandi dengan air sesejuk gunung. Iya, di kampung kehidupan ini air paipnya pun dingin dan menyegarkan. Selepas itu saya pergi ke meja kerja saya, dan mula membuat kerja-kerja yang tertangguh dari tengahari tadi. Sejak saya mulai mempunyai ruang kerja kembali, ianya menjadi tempat saya "merawat" diri saya.

 

Di meja kerja, saya rasa berguna. Saya rasa banyak perkara saya boleh lakukan. Ini membantu saya mengurangkan bisikan memori yang meyakitkan. Saya seronok melayan ibu bapa yang bertanya tentang ebook,  membalas komen-komen di Facebook sambil membaca perkara yang menghiburkan hati saya. 

 

Saya ingin memberi peluang tanpa penghujung kepada diri saya. Walaupun separuh dari saya ini kadangkala melampaui batas, separuhnya masih lagi insan yang bahagia serta penuh kasih sayang. Saya belajar menerima kekurangan saya, dan melihat kekuatan yang ada sebagai anugerah Tuhan yang sangat bermakna.

 

Kawan-kawan, adakalanya kita akan tewas. Kita tewas dengan keburukan yang kita lakukan. Kita tewas dengan masa silam yang hitam. Kita tewas dengan perasaan bersalah dan ingin menghukum diri sendiri. Saat itu, kita rasakan kita ini amat teruk, amat jahat dan menyusahkan sahaja. Seolahnya semua yang dikatakan orang itu benar.

 

Jika ombak di laut ada masanya akan tenang, begitulah juga ribut di hati kita. Berikan ia peluang untuk reda. berikan ia peluang untuk merawat luka. Sambil itu, senyumlah. Tuhan tidak pernah meninggalkan kita. Tuhan menguji kerana kita mampu menghadapinya. Akan sampai saat beratnya rasa itu menjadi pemangkin untuk kita melompat ke bintang yang paling atas. 


Lihatlah keluar jendela. Alam ini hujungnya tidak terlangkau oleh mata kita. Begitu juga peluang untuk mencapai bahagia.


Berikan dirimu, peluang tanpa penghujung!

 

- Elin -

#UniversityOfHome 

 


 

No comments:

Post a comment