Memulakan Hari - Noor Azlin Mohamad

Sunday, 8 November 2020

Memulakan Hari


 

Menghadapi setiap hari bukanlah perkara mudah, lebih-lebih lagi jika anda mempunyai sakit mental seperti anxiety dan depression. 


Permulaan hari adalah sangat menakutkan, bertubi-tubi perkara yang muncul dalam fikiran. Banyak perkara yang perlu dibereskan. 


Saya pernah dan selalu mengalaminya. Bertahun-tahun saya begitu, dan ianya bukan perkara mudah. 


Menyenaraikan apa yang perlu dibuat hari ini, membuat jadual harian dan long term planning, ini semua saya sudah cuba buat. 


Namun ianya menjadi perkara yang saya takutkan, yakni ketakutan jika tidak dapat penuhi apa yang saya tulis. 


Jadi beberapa minggu ini saya cuba bangun juga setiap pagi, walaupun tidur cuma sejam dua atau kurang sebelum itu. Pesakit mental biasanya akan ada masalah tidur, itu biasa. 


Bangun solat Subuh, dan kemudian minum secawan minuman yang saya suka dan segelas air kosong. 


Saya akan cuba buat benda yang saya nak buat dahulu, sebelum buat apa yang saya perlu buat. Ianya penting kerana saya nak ajak diri saya, bukan paksa. 


Paksaan atau gesaan tidak sesuai bagi saya, ianya buat saya marah dan memberontak. Ada cara untuk saya buat buat tanpa dipaksa, yakni memahami kenapa ianya perlu dilakukan. Ada beza memaksa dan menyuruh. 


Memaksa ialah mengenakan paksaan dan gesaan agar sesuatu itu dilakukan. Herdikan, perlian, nada tinggi, reverse psychology dan ugutan adalah antara cara biasa paksaan dilakukan.


Menyuruh, kita suruh yakni beri arahan apa yang perlu dilakukan. Ada banyak cara untuk menyuruh seseorang melakukan sesuatu. 


Cakap dengan jelas apa yang perlu dilakukan. Guna bahasa yang sesuai. Kita boleh tegas tanpa perlu mengherdik atau meninggikan suara. Nyatakan sebab kenapa ianya perlu dilakukan. Beri masa untuk ianya dilakukan.


Saya bercakap dari sudut pandang saya. Ini kerana saya selalu dilabel sebagai orang yang degil dan tidak suka disuruh. Sedangkan saya bukan tidak buat kerana itu. Saya tidak suka dipaksa. 


Bila saya lakukan sesuatu, saya akan buat sehabis baik. Dengan syarat saya faham apa yang perlu dilakukan. Saya rela melakukannya. Jika tidak timbul rasa takut untuk diherdik atau ditenking kerananya, saya akan buat luarbiasa terbaik. 


Saya menulis apa yang ada dalam fikiran saya atas buku nota. Ianya saya datang kembali berkali-kali, bukan rigid. Buku saya pun saya tukar ikut yang saya suka. Saya ada banyak buku nota. Ini satu bentuk perkara yang saya suka. 


Jadi berbalik kepada bangkit waktu pagi, iya, lakukan perkara yang kita sukai walau sekecil-kecil perkara. Seperti mengusap kucing, membuka tingkap, menulis, minum kopi atau lainnya. 


Kemudian baru beralih kepada apa yang perlu dilakukan. Ha, saya bukan sifu motivasi ya. Saya kongsikan berdasarkan bagaimana saya buat diri saya bangun bekerja setiap hari dengan peperangan dalam otak saya setiap pagi.


Baik, selesai coretan pagi untuk hari ini. 


Selamat pagi pejuang kehidupan,

Teruslah melangkah!


- Elin -

#UniversityOfHome

Pelajaran Hidup Bermula Kembali

.

No comments:

Post a comment