Bangkitlah walau jatuh beribu kali - Noor Azlin Mohamad

Sunday, 1 November 2020

Bangkitlah walau jatuh beribu kali



Saya pernah rasa terluka dan kecewa, sampai pada tahap hidup ini sudah tiada serinya lagi. Rasa seolah kehadiran saya ini tiada lagi makna, dan saya cuma akan menyusahkan orang lain sahaja.


Bertahun-tahun saya hidup begitu. Saya hilang minat tentang semua perkara. Saya jadi tidak peduli pada orang yang saya sayang. Semua benda jadi sangat menakutkan. Saya hanya ingin "hilang".


Namun, sejak setahun yang lepas, saya mula cuba untuk bangkit kembali. Ya saya masih jatuh berkali-kali dan rasa kecewa berjuta kali. Setiap kali saya menemui sesuatu yang saya banggakan, saya bimbang pula kehilangannya.


Kebimbangan itu menguasai diri saya, sehingga saya takut untuk mencuba apapun kembali. Namun, saya tidak pernah berhenti mencuba. Saya akan tetap bangkit walau kaki ini tidak mampu lagi berpijak. 


Sudah hampir 4 bulan kami berpindah ke sini. Dalam tempoh itu juga, saya mulai aktif semula di dunia online. Saya cuba asah kembali skill saya, belajar dari kawan-kawan baru, bekerjasama untuk projek-projek. 


Alhamdulillah, walaupun hasil pendapatan cukup-cukup sahaja, hidup jauh lebih tenang di sini. Allah titipkan bantuan dari kawan-kawan dan juga peluang-peluang perniagaan yang boleh saya dilakukan di rumah.


Rumah ini dunia saya, universiti saya yang baru. Jika di Kuantan dahulu saya belajar subjek persahabatan dan kesyukuran, di sini saya belajar subjek kebangkitan dan usaha gigih. 


Saya bersyukur Allah berikan saya sihat dalam tempoh yang lama, walaupun kadangkala datang juga tanpa diminta. Saya tekad, untuk tingkatkan lagi usaha  dan terus bangkit mendaki lebih tinggi. 


Kawan-kawan, jika anda rasa hampir putus asa, bertahanlah. Cubalah sedikit demi sedikit melangkah, tanpa perlu bimbang cakap-cakap orang terhadap kita. Sesungguhnya setiap jatuh bangun itu adalah usaha.


Tuhan pasti memberikan ganjaran atas setiap usaha itu, dan masanya akan tiba di mana kita akan capai juga apa yang kita impikan. Mungkin kita tak dapat yang kita impikan sebelum ini, namun kita dapat yang lebih baik dari itu. 


Teruslah melangkah!


- Elin -

#UniversityOfHome

No comments:

Post a comment