Perancangan Mega - Noor Azlin Mohamad

Saturday, 25 April 2020

Perancangan Mega


Selesai sahaja solat, saya duduk seketika. Usai membaca doa, teringat pesan sahabat saya di messenger. 

"Kaklin biasa istighfar dan selawat sokmo kan?" Setelah menyapa saya dan bertanya khabar, lembut sahaja dia bertanya.

"Dia ada mari. Istigfar. Ada pulo mari, dia jadi macam rasa tak cukup. Solat tapi lupa rakaat mana. Baca kadang lupa ayat apa" ketika itu saya betul-betul dalam keadaan tidak tenang. Banyak yang berkecamuk dalam kepala.

"Cuba kaklin amal istighfar 100x setiap kali selepas solat" sambung dia memberi saranan. 

Nasihat yang nampak biasa, namun sebenarnya amat besar impaknya. Saya ada mengamalkan zikir dahulu, namun apabila rasa serabut itu datang, saya lupa. 

Saya meminta anak-anak mencari pengira zikir berwarna hijau yang biasa saya guna. Kemudian saya naik mencarinya di bilik membaca. Saya membelek-belek di tempat saya biasa letakkan.

"Umi, maaf Ainnur tertinggal benda tu kat sekolah, lepastu hilang" tiba-tiba muncul anak nombor dua di belakang saya. 

"Takpalah, dah hilang nak buat macamana, umi tak marah" jawab saya menenangkannya yang dalam ketakutan. 

Saya mungkin juga akan tengking anak saya tiba-tiba, namun sejak akhir-akhir ini saya lebih tenang. Saya mula amalkan baca istighfar sebagaimana yang disarankan. Ada juga saya marah-marah tapi ianya cepat reda.

Rezeki juga Allah datangkan dari pelbagai cara yang kami tidak jangkakan. Saya pada mulanya gusar, bagaimana menghadapi Ramadan ini kerana kemungkinan tiada lagi tempahan upah masak.

Terjadi juga pelbagai perkara yang buat saya sedih dan tertekan. Sampai sakit badan saya menahan rasa hiba. Namun Allah hadiahkan saya sahabat yang baik-baik, Allah datangkan bantuan melalui mereka.

Ada sahabat yang infaq dan hadiahkan kepada saya supplemen. Sumbangan beras dan barang keperluan tiba, ada juga yang memberi zakat dan bantuan kewangan. Ada yang, membayarkan sejumlah hutang (bagi pihak) saya.

Ucapan terima kasih saya ucapkan, dan saya rasa terima kasih ini sahaja tidak mencukupi.  Saya doakan sahabat dan pihak yang telah membantu kami ini dipermudahkan urusan, dan dalam rahmat serta kasih sayang Allah selalu. 

Apabila datang sahabat bertanya khabar dan mengingatkan saya, amatlah saya menghargainya. Doa, nasihat dan ingatan juga besar maknanya bagi saya. Saya yakin semuanya dari Allah, dan Dia-lah yang menggerakkan hati-hati. 

Sebagaimana Allah membuat perancangan mega, untuk membawa kami sekeluarga ke bumi Kuantan ini. Jika tidak kerana tawaran biasiswa, dan kewajiban menyambung pelajaran di universiti di sini, pastinya mustahil untuk kami berpindah dari Puchong.

Allah tempatkan kami di sebuah rumah yang berdekatan masjid, yang mana bila azan berkumandang, ianya mengalun masuk melalui pintu dan pintu kami yang selalu terbuka. Apabila ada ceramah, pasti saya dapat mendengarnya dengan jelas sekali.

Saya dilahirkan Islam, dan saya mula berubah mendekati-Nya kembali setelah berkahwin 14 tahun dahulu. Namun, kesusahan juga buat manusia terleka, kerana sibuk mencari sesuap nasi. Kami benar-benar miskin harta, ilmu dan ketenangan dahulu.

Jadi Allah bawa kami ke sini, melalui jalan yang panjang dan menyakitkan. Kami datang dengan harapan menggunung mengubah nasib kami, namun Allah tunjukkan jalan cerita yang amat berbeza. 

Walaupun saya cuma dapat menggapai master dan gagal memilikinya, saya berjaya mencapai ilmu yang Allah ingin saya cari. Allah temukan saya dengan orang yang berilmu dan rendah diri. Semua ini, di University of Home. 

Sahabat, Allah akan berikan apa yang kita perlu, dan mungkin ianya yang kita mahu atau tidak mahu. Tidak sekalipun perancangan Allah gagal, namun kita seringkali gagal memahami setiap perancangannya.

Istighfar, mulai solat yang jadi tiang agama. Belajar dari kawan-kawan, jadikan sosial media ini tempat menimba ilmu. Allah datangkan ujian bukan hanya untuk menguji, malah memberi petanda kepada kita apa yang patut kita lakukan. 

Terus berusaha, dan didik hati untuk bertenang walaupun kadangkala gagal melakukannya. Jadilah orang yang baik, dan jikapun kita mati kerana menjadi baik, itu lebih baik daripada hidup dalam kegelapan dan kebencian. 

Rezeki itu bukan sahaja wang dan harta, anak dan sahabat yang baik, tempat berteduh, pasangan yang membantu, jiwa yang tenang juga rezeki. Allah uji kerana Allah sayang, Allah beri juga rezeki kerana kasih sayang-Nya tiada terbatas.

Terima kasih kerana sudi membaca nukilan saya harini. Alhamdulillah ☺️

Terima kasih Allah, terima kasih keluarga dan sahabat.

- Elin-
#UniversityOfHome

No comments:

Post a comment