Perpisahan - Noor Azlin Mohamad

Sunday, 1 October 2017

Perpisahan




"Ayah...ayah....ayah...!"
Jerit anak kecil dari kerusi belakang. Suaranya bergema ke seluruh bas. Pilu,  terpisah dari ayahnya yang sedang tersenyum tenang di tepi bas. Aku biarkan sahaja suara itu menemani aku sambil perlahan-lahan bas bertolak dari terminal.

Suamiku sudah pulang setelah menghantar aku ke bas. Seperti biasa aku peluk dan cium anak-anak sepuas-puasnya. Walaupun ini bukanlah kali pertama, perasaan pilunya tetap sama. Saat melihat sahaja kelibat bas aku akan mula mencium Ameera berkali-kali. Aku gomol -gomol mukanya. Aku cium-cium bajunya agar aku dapat bawa baunya dalam kenangan.

Ada orang berkorban berjauhan suami, ada orang berkorban meninggalkan anak-anak. Segalanya dibuat demi kelangsungan hidup dan memenuhi tanggungjawab. Setiap ibu bapa pastinya mahu anak sentiasa di depan mata. Walaupun ditinggalkan untuk pergi bekerja.

Jika di tempat kerja atau belajar itu disediakan tempat asuhan agar sekali sekala dapat ibu bapa menjenguk anak-anak mereka kan bagus? Jadi jika terjadi apa-apa yang tidak diingini, pengasuh juga senang nak hubungi ibubapa. Hati pun tenang bekerja.

Bila kita melihat mereka yang menghantar anak ke pengasuh, jangan dituduh mereka itu pentingkan kerjaya sahaja. Zaman sekarang suami dan isteri bekerja bukanlah perkara biasa. Jika boleh dibawa ke tempat kerja, aku yakin berbondong-bondong ibu bapa akan membawa anak-anak mereka.

Ada juga ibubapa yang memilih untuk menjaga sendiri anak-anak mereka, samada mereka mampu atau tidak mampu menghantar anak-anak mereka ke rumah pengasuh. Terpulang mereka, kita ini siapa untuk bersangka-sangka? Mungkin mereka ada cerita mereka sendiri kenapa, dan mereka tidak perlu bercerita kepada kita semuanya.

Aku dan kau semuanya pernah melalui perpisahan dengan keluarga walau sekejap sahaja. Setiap perpisahan itu bagai pisau yang menghiris perasaan. Janganlah ditambah pilu itu dengan berkata kami ini "bebas" dari tanggungjawab walau sementara. Kerana di dalam hati tak pernah lupa, dan merindu sentiasa.

Selamat tinggal anak-anakku, selamat tinggal abang. InsyaAllah ketemu lagi kita nanti minggu hadapan jika tiada aral melintang.

Sekian nukilan. Doakan aku selamat perjalanan ke Putrajaya ya sahabat.

Elin Mohamad
➖➖➖➖➖➖➖➖➖
#BukanCikguBiasa
#BukanSekadarFollow!

📁 File: #TheStoryofElin, #MenggapaiMaster, #CeritaDalamBas
📟 Catatan: 4.28pm | Dalam bas ke Putrajaya

📌 Sila #Like,  #Komen dan #Share jika anda belajar sesuatu. #Tag sahabat hanya bila dapat keizinan mereka. Semoga bermanfaat!

No comments:

Post a comment